i'm not single


tarikh 29 mei adalah amat hari bersejarah buat saya. bukan bersejarah buat saya sahaja, malah ahli keluarga saya juga. almaklumlah majlis perkahwinan pertama adik beradik saya. pagi itu, saya bangun seawal 5 pagi. ish ish ish, jarang sungguh saya bangun seawal itu. bangun sendiri pulak tu. kagum saya dengan diri sendiri. selalunya saya ni kena ada orang yang tolong kejutkan ataupun jam loceng kena menjerit kat sebelah. itu pun belum tentu terus melompat bangun.

saya terbangun awal tu sebab saya rasa jari kaki dan tangan saya sangat kebas dek balutan inai. kecut-kecut tangan saya lepas saya basuh inai di tangan. oleh kerana bimbang gerabak keretapi bangun, saya pun terus mandi. takut nanti kena beratur panjang pulak nak ambik giliran. rumah saya dipenuhi dengan sanak saudara malam itu.kak ija, pengapit saya pun tidur di rumah saya.

lepas mandi dan solat subuh, saya beritahu kepada ummi untuk ke dewan sekolah. orang kata, untuk last touch up. pada mulanya, ummi melarang tapi akhirnya akur dengan kehendak saya. jarak rumah saya dan dewan sekolah tidaklah begitu jauh, kira-kira 100 meter aje. ala, sekolah rendah saya dulu. bertemankan kak ija, saya ke dewan sekolah. semalam hujan. bimbang jugak sudut tempat buku tetamu tu comot akibat hujan. alhamdulillah, semuanya ok.

pukul 7.45 pagi, kakak andam saya (kak ros) tiba di rumah. dah lah masa tu perut saya terasa macam nak buang air besar. tup tup bila adik saya masuk bilik saya dan maklumkan kedatangan kak ros, terus rasa nak terkucil hilang. nak sarapan pagi pun macam tak selera sangat. tak rasa lapar pulak tu. selalunya, sarapan pagi adalah wajib bagi saya setiap hari. sesi bermekap-mekapan pun bermulalah. tapi saya rasa yang paling mencabar untuk kak ros mekapkan saya adalah ketika dia nak mekapkan bahagian mata saya. masa dia nak letak, apabenda namanya tu? ala, yang macam pen letak kat bawah mata tu. eyeliner eh? maklumlah saya ni tak pernah bermekap. mekap masa dinner kat uni dulu pun, kawan yg tolong conteng-contengkan. masa kak ros nak letak eyeliner tu kat mata, leceh betul. terkelip-kelip mata saya.

pernikahan saya dijadualkan jam 10 pagi. lepas mekap, saya dan ahli keluarga melangkah ke surau. jarak rumah saya dan surau pun tak jauh. 50 meter aje. MNG dan ahli keluarganya pula bersiap-siap di rumah makciknya yang selang 3 buah rumah dari rumah saya. ketika saya melangkah keluar dari rumah saya, saya dah ingatkan diri saya, apa yang akan terjadi atau apa sahaja terjadi, saya kena senyummmm. tak payah nak meroyan ke hapa ke. tak payah nak pikir-pikir lagi kalau ianya tak menjadi seperti yang kita rancang. kita hanya mampu merancang, kan? tapi jangan sampai tak rancang apa-apa langsung. sebab ini majlis kita. betul tak?

sebelum dinikahkan, saya bergambar dengan orang paling berjasa dalam hidup saya - ummi dan ayah tersayang.


bersama adik-adik saya, nana dan kikin. thanks, korang!


majlis pernikahan saya berlangsung secara sederhana sahaja. alhamdulillah, dengan sekali lafaz, saya sudah menjadi milik MNG. perasaan masa tu seronok dan bersyukur sangat-sangat. 8 tahun kasih tercipta, akhirnya impian termakbul jua. nasib baik ustaz Osman, jurunikah pada hari itu tak tanya macam-macam sangat. saya asyik senyum aje dan tangan kanan saya sibuk tunjukkan 2 jari -nak menge-peace. saudara mara saya cakap, saya suka main-main. orang lain selalunya sedih tapi bila time saya ni, semua jadi tak sedih. saya pun tak suka nak cedih-cedih. saya suka yang ceria. hmmm...tak kisahlah, sedih ke, gembira ke, alhamdulillah semuanya selamat. asalkan pernikahan kami direstui kedua belah keluarga, itu sudah mencukupi bagi saya. apa lagi yang lebih bernilai selain dari keberkatan orang tua kita, kan?

setelah akad nikah selesai, sesi menyarungkan cincin. makteh saya meminta emak MNG yang menyarungkan cincin ke jari saya yang runcing ini . hmmm.... ada juga rakan yang bertanya, mengapa bukan MNG yang menyarungkan cincin? tak kisahlah kan. janji semuanya dah selamat. selepas emak MNG menyarungkan cincin,  sesi bersalam-salaman pula. 


sambil bersalam dengan MIL pun, sempat menge-peace

calon isteri mithali. ececehhh . [saya sangat suka gambar ni. baju saya nampak sangat cantik]

selepas itu, saya bersalam dengan ahli keluarga, sanak saudara yang hadir. tidak lupa juga keluarga dan sanak saudara yang baru. selesai bersalam, sesi bertukar-tikar dulang hantaran pun bermula. pada mulanya, hanya 9 dulang berbalas 11 tapi akhirnya 11 berbalas 13 sebab nak lebihkan hantaran makanan.

mari kita cekidaut 11 dulang hantaran MNG kepada saya.
 
dulang 1 - mas kahwin sebanyak RM 300 dibentukkan sebagai kelopak bunga dan daun, wang hantaran di dalam buku akaun dan jam tangan. saya memang merahsiakan wang hantaran dari pengetahuan sanak saudara. hanya ahli keluarga saya dan MNG sahaja yang tahu. memang ramai yang bertanya, tapi setiap kali ditanya inilah jawapan saya:

"lebih sikit dari erra fazira, kurang sikit je dari siti nurhaliza." hehehe. saje saya melawak. dapatlah saya mematikan idea mereka yang bertanya dari terus menerus menembak bertubi-tubi soalan kepada saya. contohnya, bulan madu kat mana? bla...bla...bla... macam-macam soalan yang ditanya nanti.

dalam saya dok biarlah-rahsia-biarlah-rahsia, tup tup taklimat Ustaz Osman pagi tu meleraikan segala. saya baru je cadang nak terus-biarlah-rahsia. masa Ustaz Osman bagi taklimat pagi tu, dia cakap, mas kahwin dan duit hantaran perlu diakadkan sekali untuk bagi lebih kat isteri. alaaaa....tiada rahsia lagi :(

dulang 2 - bunga rampai dan cincin
dulang 3 - buah-buahan


dulang 4 - buku agama
dulang 5 - sepersalinan telekong
dulang 6- sepersalinan baju kurung
dulang 7 - set wangian dan mandian


dulang 8 - kasut dan handbag yang sepadan.


masa cari barang hantaran hari tu, saya tak susah mencari kasut. selalunya, kasut lah yang paling susah saya nak cari yang berkenan. tapi alhamdulillah Allah telah mempermudahkan urusan. saya masuk sahaja ke kedai, terus saya jatuh cinta dengan kasut ni. siap matching dengan beg lagi youuu. mujur juga ada saiz untuk kaki cinderella saya ni iaitu saiz 4. saya sangat sukaaaa kasut dan beg ni. dah lah dapat diskaun gila-gila sebab masa beli hari tu tengah sale. dah diskaun pun, saya rasa menggigil jugak la nak bayar. terima kasih MNG sebab belikan beg dan kasut ni.


dulang 9 - kueh saya-tak-tahu-nama. 
kueh ni MIL saya cakap kueh orang tua-tua sebab orang tua-tua aje yang pandai makan kueh ni. yang pandai buat pun, orang tua.

dulang 10 - seperais
eh, kenapa kosong ni? MNG bagi saya rumah sebab tu lah dulang hantaran ni kosong. takkan rumah nak letak kat sini.cheeewaahhh. acah aje. sebenarnya ini dulang untuk kek hantaran. ada makcik MNG ni nak sponsor kek tapi entah macam mana dia boleh terlupa nak ambil kek yang telah ditempah. nak dijadikan cerita, orang yang ambil tempahan pun lupa nak buat kek yang makcik MNG tempah. maka, terpaksa lah pakcik MNG berlari ke secret recipe. maka, nama kek kami: kek ketuk pintu. tapi lupa pulak mana gambar dulang yang dah letak kek ni.


aik? takkan 10 dulang je? 1 dulang lagi, dulang tepak sireh. mana pulak gambar tepak sireh ni? sementara kite dok selongkar balik gambar kek dan tepak sireh, mai tengok dulang hantaran dari saya pulak.

saya bersama 13 dulang hantaran saya kepada MNG. sebenarnya saya minta ahli kelab jeng jeng saya bukakan kotak untuk kek hantaran. bagi kek aje lah kan, tak payah lah kotak-kotaknya sekali. kan tak cantik dalam gambar tu. jurukamera nak ambil gambar pun senang. tapi ada pulak makcik sorang ni cakap tak payah bukak, bagi dengan kotak. tup tup masa dulang hantaran diletakkan di surau, saya lihat kek hantaran saya tak dibukakan kotaknya. saya malas nak meroyan. senyum dan terus menge-peace.


dulang 1 - sireh junjung



tadaaaa....inilah dia sireh junjung yang Uda tolong gubahkan untuk saya. terima kasih Uda. saya? saya tolong belikan bunga dan daun sireh aje.

dulang 2 - kitab suci Al-Quran
dulang 3 - buah-buahan
dulang 4 - wangian dan tali pinggang



dulang 5 - jam tangan

dulang 6 - sepersalinan kemeja dan tali leher

dulang 7 - sepersalinan seluar slack

dulang 8 - set mandian

dulang 9 - kasut

dulang 10 - kueh-bentuk-sampan. sponsor by maklang gemas. thanks!

dulang 11 - gula-gula. sponsor by cousins PD. macehhhh

dulang 12 - coklat. sponsor by cousins singapore. terima kasih!

dulang 13 mana? dulang ke-13 adalah dulang kek. gambar kek yang dibukakan kotaknya, tak diambil pulak. walaupun gubahan hantaran saya biasa-biasa aje tetapi bagi saya ianya sangat tak ternilai sebab hantaran ini semua dibuat sendiri, tidak ditempah. walau mungkin pada mata orang lain, ianya hiasan hantaran biasa-biasa aje tapi apabila ia dibuat dengan penuh ikhlas, penuh dengan kasih sayang, ianya menjadi lebih mahal dari barang-barang yang diletakkan di atas dulang hantaran tersebut. saya sayang ummi saya. saya sayang keluarga saya. saya sayang saudara mara saya. kalau saudara mara saya yang tahu pot pet pot pet aje tapi tangan tak gerak sama pantas macam mulut mereka pun, nak sayang jugak ke? tak pelah, saya sayang jugak. saya sayang semuanya.

hmm.... gambar hantaran dah. mana pulak gambar pengantin? nak gambar pengantin! *sambil gaya hentak-hentak kaki. ok, ok. sila teruskan sroll ke bawah untuk lihat gambar pengantin.



i'm not single :)

 nasib baik dalam blog ni tak nampak gigi belakang saya bertampal. [tu la, gedik sangat ambil gambar nganga-nganga mulut. jangan zoom gambar ni ye.]


saya sangat suka baju yang saya pakai masa majlis nikah saya ni. dan saya juga sangat suka lihat MNG berbaju melayu serba putih ini. suka bangettt dehhhh! memang pengantin dengan warna putih sangat suwiiitttt.



oh, tak lupa juga bergambar bersama peng-kepit. tapi kenapa macam tangga daaaa....



kami di hari diabetes sedunia HKL


tahukah anda 14 november adalah hari sambutan diabetes sedunia? hehehe. ecececehhh.

ok, sambil kita flashback berkenaan hari bersejarah saya, saya selitkan juga cerita terkini. yang current punye. semalam, hari ahad, 14 November adalah hari sambutan hari sambutan diabetes sedunia. tahun ini, Hospital Kuala Lumpur (HKL) telah menganjurkan satu program menyambut hari diabetes ini di Tasik Titiwangsa. 

dari bulan lepas lagi apit telah mengingatkan saya program ini. selaku kak long yang prihatin lagi rupawan, saya memenuhi keinginan adik saya untuk membawa beliau hadir ke tempat kejadian.  maka, seawal pagi kami telah tiba di tasik titiwangsa. 

ada macam-macam program disediakan untuk hari sambutan diabetes ini. ada sukaneka untuk dewasa, ada peraduan mewarna untuk anak-anak kecil, ada pop kuiz. ada juga disediakan pemeriksaan kesihatan percuma. kalau kamu nak tahu, adik saya, apit merupakan pesakit diabetes sejak 6 tahun yang lalu iaitu ketika beliau darjah 4 intan. hihi. siap sebut nama kelas pulak. nama sekolah tak payah sebutlah ye.

6 tahun yang lalu, kami sekeluarga seakan tak percaya apit yang cilik itu sudah menghidap diabetes. ini kerana keluarga ummi dan ayah tiada sejarah penyakit kencing manis ini. ayah mula menyalahkan dirinya kerana membiarkan apit gemarkan ais krim dan coklat. bagi saya, ais krim dan coklat memang sinonim dengan kanak-kanak. jadi , apakah sebenarnya diabetes ini?

diabetes bererti glukosa darah terlalu tinggi. diabetes terbahagi kepada 2 jenis iaitu jenis 1 dan jenis 2. 

diabetes jenis 1 boleh pada semua peringkat usia tetapi ia sering berlaku kepada kanak-kanak dan remaja. untuk diabetes jenis 1, sel khusus yang disebut sel beta di pankreas mereka menghasilkan insulin yang sangat sedikit atau tidak dapat menghasilkan insulin. Insulin adalah hormon yang diperlukan untuk memindahkan gula darah (glukosa) ke dalam sel, di mana disimpan dan kemudian digunakan untuk tenaga. tanpa insulin yang cukup, glukosa akan terkumpul di dalam aliran darah dan tidak pergi ke dalam sel. maka tubuh seseorang tidak dapat menggunakan glukosa untuk tenaga.


antara simptom-simptomnya adalah:

    * Menjadi sangat haus
    
* Kerap buang air kecil
    
* Merasa sangat lapar atau cepat penat
    
* Kehilangan berat badan tanpa berusaha
    
* Lambat sembuh luka
    
* Kehilangan rasa di kaki 
    * Penglihatan kabur

setiap orang memerlukan insulin tetapi tubuh pesakit diabetes 1 tidak dapat membuat insulin sendiri. maka, mereka perlu mengambil insulin setiap hari melalui suntikan insulin dari 1 hingga 4 kali sehari.


selepas penerangan doktor, ayah semakin tenang. kami juga barulah faham, apit diabetes bukan suka makan makanan manis tetapi sistem tubuh badannya yang tidak dapat membuat insulin. saya masih ingat lagi, ketika pertama kali apit dimasukkan ke wad setelah disahkan menghidapi diabetes, saya, nana, ummi dan ayah saling mengganti menjaga apit di wad kanak-kanak HKL. tetapi paling saya kecil hati, apabila ada sesetengah pakcik makcik saya yang sound apit ketika datang melawat di wad.

"tu lah.....banyak makan ais krim. suka makan coklat," ungkapan ini yang diucap mereka ketika melawat apit.

saya sangat berkecil hati. bagi saya, ais krim dan coklat memang sinonim dengan kanak-kanak. siapalah yang tak gemarkan benda manis. orang-orang dewasa dan tua pun tidak dapat mengawal keinginan menikmati makanan manis. apit kena kencing manis bukan macam kebanyakan orang-orang tua tu, yg kena kencing manis sebab banyak makan benda manis. itu dipanggil diabetes jenis 2, yang kebanyakan berlaku pada usia 45 tahun ke atas. walaupun pankreas mereka dapat membuat insulin sendiri tetapi kandungan gula dalam darah mereka yang sangat tinggi menyebabkan pankreas mereka perlu menghasilkan insulin lebih banyak dan lebih, kerana insulin yang dihasilkan tidak cukup untuk memenuhi permintaan tubuh mereka.

apalah perasaan anak kecil berusia 10 tahun seperti apit apabila kalian datang melawatnya mengucapkan sedemikian? apit tidak obesiti seperti kanak-kanak diabetes lain. apit tidak perlu disalahkan. kita perlu terima dan redha yang ini adalah bahagian apit. bahagian kita, tak tahu lagi kan?

ok lah, itu cerita 6 tahun lampau. kalau tuan bijak bestari, adik saya kini umur berapa? haaa....pandaiiii. apit kini sudah menginjak 15 tahun. adik i dah bujang, youuuu.

apit


sekarang, mari ikut saya buat pemeriksaan kesihatan percuma.

kena la daftar dulu

 

lepas daftar, dapat kad dan beratur untuk giliran


ukur ketinggian dan berat untuk kira BMI


ukur pinggang


periksa tekanan darah



periksa kandungan gula



alhamdulillah, gula normal. tapi tinggi saya dah naik 3 cm laaaa. cayalah!



pemeriksa kesihatan pening bila melihat keputusan pada kad ini. kalau orang tengok badan MNG mesti tak percaya dengan hasil pemeriksaan MNG. tekanan darah normal. gula pun normal. cuma BMI je tak berapa cunnnn sangat apapun, alhamdulillah dan perlu berjaga-jaga. 

Mencegah itu kan lebih baik dari merawat?

sekitar persiapan majlis perkahwinan saya


apacer mingming?

uhuk...uhuk...agak terbatuk-batuk sedikit menulis blog kali ini sebab cerita yang sudah agak basi. takpelah, seronok jugak tulis sambil terkenang ni. iyelah, perkahwinan adalah antara perkara manis dalam kehidupan manusia.

di sini juga saya ingin mengucapkan jotaan terima kasih kepada ahli keluarga saya yang secara relanya menjadi ahli kelab jeng jeng. kenapa nama kelab jeng jeng? sebabbbb....yang ringan sama dijinjing. hihihi. jadi, nama yang lebih komersial - jeng jeng. mereka adalah terdiri daripada adik-adik saya yang comei macam kaklong dia jugak, kikin sebagai presiden dan apit sebagai naib presiden. ketua-ketua exco adalah adik-adik saya yang lain iaitu jaja, af dan amir. oh ya, penasihat kelab juga tidak dilupkan iaitu mestilah ummi dan ayah saya. along takkan lupa lah jasabaik korang tolong along masa hari tu. along lap u, lahhhh. muah muah muah.

tiada bunga rozek untuk kelab jeng jeng saya selaku penanggah. tapi saya gantikan dengan tag aje. hihi. pakai tag macam fasilitator kem motivasi pulak. terima kasih kikin sebab sudi luangkan masa dan bagi pinjam pencetak berwarna (printer colour) untuk buat tag ini.

puan penasihat dan naib presiden merasmikan tag kelab jeng jeng

oh, tak lupa juga terima kasih kepada ayun (sepupu saya) sebab datang ke rumah saya awal 3 hari sebelum hari majlis untuk hulurkan tangan ringankan beban. siapa boleh lupa weiiii kita adik beradik, Puan Penasihat dan ayun tidur pukul 3 pagi 2 hari sebelum majlis. sebab kita sama-sama menggembleng tenaga mengikat reben pada bahulu gulung yang ditempah untuk dijadikan door gift.

ummi saya cakap, kalau  takde riben, macam tak cun sangat. mula-mula saya membantah nak ikat-ikat reben ni sebab leceh. ye lah, saya tak nak susahkan orang. tapi apa yang penting, memang kerjasama! maka, jari jemari kita terus sama-sama rancak mengikat reben sambil membuat lawak bodoh. telinga kita pula disajikan dengan lagu-lagu merapu mat saleh yang Af download kat PC dia. masa mula-mula Kak Ros hantar bahulu gulung yang saya tempah malam itu, kami semua terliur. tapi bila kami selesai menyiapkan pada pukul 3 pagi, terus cari bantal. dah tak teringat nafsu nak curi-curi makan bahulu gulung ni.

walaupun masa tu dah pukul 2-3 pagi tapi tengok ahli kelab jeng jeng saya ni, tekun ikat reben pada bahulu gulung sambil kat leher sentiasa tergantung tag kelab jeng jeng. sangat komited. cayalah!

ayun, sepupu saya

                                                                     
 adik saya, af juga tak lokek tenaga ikat-ikat reben ni

bahulu gulung yang sudah diikat reben

banyak benda saya uruskan sendiri aje. dan dibantu oleh ahli majlis tertinggi kelab jeng jeng.  bukan tak percaya pada orang lain, cuma saya tak mahu susahkan saudara mara. saudara mara dapat datang meraikan pun, saya dah syukur sangat sangat. kalau ada benda yang boleh saya buat, saya buat. kalau ada saudara yang nak hulurkan bakat atau sumbangan, saya terima dengan hati terbuka. rezeki jangan ditolak, betul tak?

sehari sebelum tarikh saya nikah adalah hari cuti am. pengapit saya, kak ija dengan rela hati datang sehari awal untuk membantu saya dan keluarga melengkapkan persiapan. kehadiran kak ija pada pagi jumaat itu sangat-sangat membantu. tengahari lepas solat jumaat, MNG pula datang untuk membantu mengemaskan dewan sekolah, lokasi majlis kami. hmmm....kalau orang lain mungkin ada perintah berkurung. tetapi perintah berkurung saya kononnya seminggu tapi anjak 5 hari, 4 hari,3 hari, 2 hari. sudahnya, tiada perintah berkurung langsung sebab ada sahaja urusan yang perlu kami buat bersama. saya, kak ija, ayun dan MNG sama-sama menyapu dewan, mengalihkan barang-barang yang tak sepatutnya berada di dalam dewan. berpeluh-peluh MNG angkat-angakat meja sekolah, angkat table ping pong bawak keluar.

tak lama lepas kami habis berkemas-kemas, vendor baju pengantin, mekap dan pelamin saya bernama kak ros tiba untuk memasang pelamin. kak ros datang tepat pada masanya. sejam lepas itu, abang-abang pemasang khemah (geng katering) pulak datang, memasang 6 khemah seperti yang dijanjikan. 

kami juga meminta abang anum (technician) datang, untuk memastikan kedudukan P.A sistem untuk majlis esok hari. kami tidak mahu P.A sistem terganggu di hari majlis. kami sekali lagi berbincang  buat kali terakhir tentang flow hari majlis. masa bila nak pasang lagu gamelan, masa bila nak pasang lagu, masa bila nak bentikan lagu untuk laluan azan.

pukul 6 petang, hujan turun sangat lebat. kak ros meminta diri setelah selesai memasang pelamin. saya sangat teruja dengan pelamin kak ros. abang-abang pemasang khemah di luar dewan juga mencuri-curi pandang pelamin di dalam dewan. mereka kata, pelamin cantik. saya senyummmmm. macehhhhh kak ros.

hampir pukul 7, abang pemasang khemah pun beredar. saya kesian sangat sangat pada MNG. dah la pagi td dia dok pantau orang pasang khemah rumah dia. tengahari pulak, lepas solat jumaat, MNG datang ke rumah saya untuk tolong mengemas. ni dah maghrib, dia ada kat sini lagi - tolong saya mengemas. esok dah hari majlis.

berulang kali kak ija suruh saya berehat. kak ija cakap, pengantin kena rehat. tak boleh buat keje berat-berat. dan berulang kali juga saya cakp pada kak ija, saya ok je. saya kan raja sehari berjiwa rakyat. hehehe.

lepas solat maghrib, saya hantar MNG ke stesen putra LRT. bai bai laling. jalan baik-baik tau. esok kite nak nikah. hehe. haaa...sebab tu la saya kesian sangat kat MNG ni. dah la datang 40 km sehala jauhnya, naik pengangkutan awam pulak tu. lepas hantar MNG, saya ambil kek yang telah ditempah untuk hantaran dan balik mandi.

malam majlis ~ separuh barang hantaran dah siap.


malam tu, saudara mara saya mula memenuhi rumah saya. beberapa hantaran sudah ummi  dan saya selesaikan. deko hantaran saya pun simple dan biasa-biasa aje. takde apa yang boleh saya cerita kat sini untuk DIY ke hapa ke sebab korang semua mesti lagi kreatif, kan. semua hantaran saya ni gam-gam, tepek-tepek, pin-pin, siappppp.

 main tembak-tembak guna pistol gam


gambar kat bawah ni, sepupu saya yang saya panggil Uda pula menyelesaikan hantaran yang lain iaitu menggubah sirih junjung dan hantaran berbentuk makanan. uda ni lelaki yang berbakat dalam memasak dan gubahan. Uda ni sebaya saya tapi dah jadi tokey kedai makan. saya? tau makan aje. nak masak bagi mertua makan pun terkial-kial apa lagi nak bukak kedai makan. setakat cafe world kat fb boleh la. cehhh....

bukan tangan pengantin...




saya pulak terus sibuk dengan benda tu lah, benda ni lah. semua benda saya nak cekidaut. sampaikan ummi dan makcik-makcik saya risaukan saya. mereka takut esok saya pengsan sebab penat hari ni. saya sedapkan hati mereka, insyaAllah Allah mudah kan segalanya esok. saya puas hati sebab saya dah berusaha untuk menjadikan majlis saya lengkap. gambar kat bawah ni pulak bunga telur saya. eh, bukan saya punya telur. maksudnya bunga telur untuk letak kat bunga pahar. tapi saya tak letak telur. saya letak gula-gula. bunga telur ni saya beli kat nilai 3. bunga telur ni kena kembang-kembangkan reben kertas dia bagi cantik sikit lagi sebab sebelum ni dia dok terhimpit-himpit dalam kotak.

 terima kasih yaya sebab tolong kembang-kembangkan bunga telur ni.
 ok, dah kembang dan isi gula-gula baru boleh cucuk kat bunga pahar

tapi bila saya semakin galak buat itu benda ini, angah mek (sepupu saya) dan kak ija tangkap saya sebab nak pakaikan saya inai. kwang kwang kwang. jam 10 lepas solat isyak, saya pakai inai dan dipaksa tidur awal. walau kaki dan tangan dah berbalut dengan inai, mata saya tak boleh pejam. teruja  menunggu hari esok atau mungkin terlalu penat seminggu ni uruskan hal-hal majlis saya.

saya masih tercari-cari gambar-gambar lain ketika kami membuat persiapan majlis ni. masa tu tangkap gambar pakai kamera sape ek? maklumlah, masa tu saya takde kamera sebab kamera rosak. (tu la, hang ni mingming. cerita dah basi, baru nak cer kat sini). huhu.